Ketika kerajaan dan pertubuhan kerajaan yang lain sedang rancak melancarkan kempen pengurangan gejala sosial, kes pembuangan bayi terus meningkat setiap hari. Bilangannya tidak pernah berkurangan. Bilangan yang meningkat adalah daripada bayi yang ditemui, tidak di kira lagi janin-janin yang dibuang dan terus dilenyapkan. Apa yang membimbangkan adalah kes pembuangan bayi ini menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Peningkatan jumlah pembuangan bayi ini seolah-olah ingin memberitahu pihak kerajaan bahawa apa yang kerajaan lakukan langsung tidak menakutkan mereka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ada menyatakan bahawa ingin mengawinkan pasangan remaja malah ingin menampung perbelanjaan perkahwinan mereka. Satu sekolah khas untuk ibu muda yang hamil juga ingin ditubuhkan. Persoalannya di sini adakah usaha-usaha ini dapat mengatasi masalah pembuangan bayi seterusnya mengurangkan angka bayi yang di buang?
Usaha-usaha dilakukan adalah kerana rasa malu kerajaan yang didorong oleh sikap remaja yang mahu berseronok dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan. Sudahnya pula, bayi-bayi akan menemui ajalnya di lorong-lorong sunyi, tong sampah, di parit mahupun sungai. Rasa belas kasihan dan usaha untuk menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa ini sering dipaparkan di dada akhbar dengan gambar-gambar bayi yang di buang. Namun, usaha ini seakan sia-sia sahaja bahkan menjadikan angka bayi yang dibuang semakin meningkat.
Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita yang hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006. JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai. Menurut statistik kes pembuangan bayi di Malaysia yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada tahun 2000, sejumlah 65 kes pembuangan bayi telah dilaporkan di seluruh Malaysia. Manakala pada tahun 2006, kes pembuangan bayi bertambah 18 kes menjadi keseluruhan kes pada tahun tersebut berjumlah 83 kes. Walaupun statistik ini tidak mencecah ke angka ratusan kes, tidak bermakna kita sebagai anggota masyarakat membiarkan perkara ini berlarutan.
STATISTIK
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula dari tahun 2000 sehingga Julai 2008. Statistik ini telah dinyatakan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa di Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2008.
Melihat kepada statistik tersebut, ternyata kes pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf adalah penyebab utama daripada masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya dalam kalangan generasi muda. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi akan terjadi gejala sosial ini. Faktor keluarga, rakan-rakan, persekitaran, media massa dan media cetak merupakan faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ini. Tidak kurang ada segelintir masyarakat yang menyalahkan keluarga sebagai punca utama kepada
permasalahan tersebut.
FAKTOR BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI
Faktor utama berlakunya pemasalahan ini ialah kurangnya didikan agama dikalangan masyarakat kita pada hari ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama dan semangat beragama akhir-akhir ini begitu menonjol tetapi ia tidak menyeluruh, hanya terbatas pada golongan tertentu sahaja sedangkan golongan muda terutama belia, umumnya masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama.
Apabila didikan agama tidak ada, di dedahkan pula dengan gambar-gambar lucah dan menggairahkan yang mudah didapati dalam media elektronik dan bahan-bahan cetakan, dengan sendirinya anak muda akan mudah terjebak dalam melakukan gejala tidak sihat ini. Selain itu, ada yang mengatakan malu menjadi faktor utama dan biasanya kerana hasil hubungan yang tidak sah. Jadi mereka malu pada masyarakat.
Faktor perkahwinan yang menyusahkan juga menjadi faktor masalah pembuangan bayi. Budaya masyarakat Melayu, umpamanya yang melibatkan hantaran, persiapan perkahwinan, membuatkan orang merasakan untuk mendirikan rumah tangga itu amat menyusahkan kerana mereka tidak mampu. Jadi anak muda yang terlalu ghairah, tidak dapat mengawal nafsu mereka terpesong dan melakukan zina, dan seterusnya menghasilkan anak luar nikah.Tidak ada pengawasan daripada ibu bapa, mereka akan mudah terpengaruh dengan kawan. Pengabaian dalam memberi kasih sayang adalah salah satu jenis penderaan yang meninggalkan risiko lebih besar yang banyak berlaku dalam masyarakat.
Faktor yang terakhir yang menyebabkan berlaku masalah pembuangan bayi ini ialah faktor masyarakat. Sesetenggah masyarakat memandang kotor orang yang melakukan dosa seperti zina, pembuangan anak, dan sebagainya. Mereka yang terjerumus ini menganggap diri mereka tidak diterima ahli masyarakat lagi. Kerana itulah wujudnya kes pembuangan bayi dikalangan orang Islam sendiri. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, walaupun menyesal tetapi tidak berani untuk mendekati masyarakat untuk meminta pertolongan.
LANGKAH MENGATASI
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak .Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada kelahiran anak-anak yang terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.
Justeru, semua pihak disaran agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut iaitu institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku. Kedua, program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu. Ketiga, pihak yang bertanggungjawab perlulah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama golongan remaja.
Seterusnya, program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dihentikan dan ibu bapa perlulah mengawal pergerakkan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak. Akhirnya adalah diingatkan bagi mereka yang sudah terlanjur,hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan-perbuatan terkutuk tersebut.Janganlah membunuh bayi, berilah mereka peluang untuk hidup.
Jelasnya, usaha pencegahan perlu bermula dari dalam diri anak-anak remaja agar mereka mampu bertindak bijak menjauhi zina selain bimbingan agama diterapkan untuk dijadikan sebagai perisai diri. Selain itu, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Semua pihak agar turut memberi penekanan kepada bimbingan terhadap kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita
No comments:
Post a Comment